KUALA PILAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sebelum ini terdapat menteri meninggalkan kekayaan sebanyak RM4 bilion apabila meninggal dunia.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan negara mewarisi satu sistem mahu menjadi menteri mesti kaya dan memiliki wang yang banyak.
“Kita warisi satu sistem nak jadi Menteri Besar mesti kaya, jadi Perdana Menteri mesti ‘million-million’, rumah di London, rumah di Amerika. Kekayaan tinggi.
“Ada yang menteri bila dah meninggal (dunia) kekayaan dia RM4 bilion, ada yang menteri dah meninggal (dunia) kekayaan RM2 bilion.
“Tapi orang kata tak apalah menteri takkan tak kaya. Saya tak setuju,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Anwar yang juga Pengerusi PH menjelaskan, beliau berkata demikian bukan mahu menyatakan dirinya istimewa baik.
“Tetapi apakah contoh pemimpin Melayu dan Islam yang baik. Contoh… pimpinannya, keikhlasannya, kesederhanaannya.
“Siapa yang tak mahu senang, saya mahu senang. Kalau boleh saya pun nak beli kapal terbang. Saya pun nak ada rumah di London.
“Tetapi saya pilih kerja untuk khidmat. Saya pergi mana-mana janji khidmat kepada rakyat Tapi khidmat apa? Saya ada punggah kekayaan dari rakyat?,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, sesetengah pihak menganggap nilai ringgit, pertumbuhan ekonomi serta pelaburan yang besar adalah perkara biasa.
“Tak betul. Tak semua kerajaan lakukan itu. Ada masa kerajaan bila ada peluang dia perkayakan diri dan keluarga,” dakwanya. – MYNEWSHUB


