Oleh Mynewshub
BANGKOK – Thailand melaksanakan perubahan besar terhadap dasar kemasukan pelancong asing dengan menamatkan kemudahan visa bebas (visa-free) yang sebelum ini membenarkan pelawat dari puluhan negara, termasuk India, tinggal lebih lama di negara itu.
Perubahan itu mencetuskan perbincangan di media sosial selepas ramai mendakwa India menjadi negara yang “paling terkesan”, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Thailand semakin kurang senang dengan kehadiran pelancong dari negara tersebut.
Bagaimanapun, setakat kenyataan rasmi yang dilaporkan media antarabangsa, Thailand menegaskan langkah itu bukan ditujukan kepada mana-mana negara tertentu, sebaliknya sebahagian daripada usaha menyusun semula sistem imigresen dan mengekang penyalahgunaan kemudahan pelancongan.
Di bawah perubahan baharu itu, rakyat India tidak lagi menikmati kemudahan visa bebas seperti sebelum ini dan kini perlu menggunakan sistem Visa On Arrival (VoA) untuk memasuki Thailand.
Tempoh maksimum tinggal juga dikurangkan kepada 15 hari di bawah kategori berkenaan, selain dikenakan bayaran visa sekitar 2,000 Baht (kira-kira RM260).
Pelancong India pernah menikmati visa sehingga 60 hari sebelum diturunkan kepada 30 hari dan yang terkini kepada hanya 15 hari.
Selain itu, pelancong juga dijangka perlu menyediakan dokumen tambahan seperti tiket pulang, tempahan penginapan dan bukti kewangan semasa pemeriksaan imigresen.
Langkah itu hadir ketika Thailand menilai semula dasar pelancongan yang sebelum ini dilonggarkan bagi merangsang pemulihan sektor pelancongan selepas pandemik.
Namun pihak berkuasa negara itu dilaporkan bimbang terdapat individu dan kumpulan tertentu yang menyalahgunakan tempoh tinggal panjang untuk tujuan selain pelancongan.
Walaupun perubahan tersebut dijangka memberi kesan kepada pelancong India yang gemar bercuti lebih lama, pemerhati industri berpendapat Thailand masih kekal antara destinasi utama pelancong India dan rantau Asia.
Ini kerana faktor kos, akses penerbangan serta tarikan pelancongan yang luas. –MYNEWSHUB


