Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pertikaian terbuka antara Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Syam Ghaz dan Pempengaruh Politik serta sosial, Lim Sian See terus memanas apabila kedua-dua pihak mengumumkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap satu sama lain.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Syam Ghaz memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim susulan dakwaan berlaku fitnah dan manipulasi terhadap kenyataan yang dimuat naik sebelum ini.
Menurut beliau, hantaran asal yang menjadi kontroversi itu hanya ditujukan sebagai respons terhadap Lim Sian See dan seorang lagi individu dikenali sebagai Albert Tei, dan bukannya ditujukan kepada mana-mana kaum secara keseluruhan.
Syam turut memaklumkan bahawa pasukan peguam telah meneliti kenyataan serta hantaran berkaitan di media sosial dan satu laporan polis juga telah dibuat bagi tujuan tindakan lanjut.
Selain itu, beliau berkata Surat Tuntutan (Letter of Demand – LOD) kepada pihak yang terlibat dijangka diserahkan dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan sama, Syam menegaskan beliau tidak mempunyai niat untuk menyinggung mana-mana kaum di Malaysia dan menyatakan kekesalan sekiranya berlaku salah faham yang menjejaskan pihak yang tidak terlibat.
Bagaimanapun, Lim Sian See membalas dengan mencabar supaya tindakan saman difailkan terus ke mahkamah tanpa perlu melalui proses LOD.
Dalam kenyataannya, Lim memberi tempoh 14 hari kepada Syam untuk memfailkan tindakan undang-undang dan menyatakan bahawa sekiranya perkara itu tidak dilakukan, beliau pula akan mempertimbangkan tindakan sivil.
Menurut Lim, tindakan yang dicadangkan adalah berasaskan dakwaan tort misfeasance in public office atau salah guna kuasa dalam jawatan awam.
Beliau turut mendakwa terdapat kemungkinan penyalahgunaan sumber dan fungsi komunikasi kerajaan untuk tujuan partisan serta menyasarkan pengkritik kerajaan, selain mempersoalkan peranan beberapa pihak dalam struktur pentadbiran kerajaan.
Lim juga mendakwa beliau mengalami kesan termasuk gangguan bersasar, kerosakan reputasi, kos guaman serta tekanan yang menurutnya memberi kesan kepada kebebasan bersuara.
Pada masa sama, Lim turut mengulangi pelawaan debat terbuka kepada Syam berhubung isu berkenaan.
Setakat ini, belum ada sebarang tindakan saman difailkan secara rasmi di mahkamah oleh mana-mana pihak dan perkembangan lanjut dijangka bergantung kepada tindakan undang-undang yang bakal diambil dalam tempoh terdekat.-MYNEWSHUB


