JOHOR BAHRU – Pelakon yang juga aktivis politik Barisan Nasional (BN), Shahrol Shiro menyindir Pakatan Harapan (PH) ‘banyak makan semut’ sehingga mudah terlupa.
Menurut beliau, pemimpin PH terlupa mereka juga pernah meminta Kerajaan Persekutuan memulangkan 20 peratus hasil kutipan cukai negeri Pulau Pinang.
“Takkan belah sana itu lupa, kau orang pun pernah minta juga pemulangan hasil 20 peratus ke negeri kau orang. Takkan lupa, banyak makan semut kah?,” sindirnya menerusi satu rakaman video di media sosial.
Beliau membidas kenyataan-kenyataan biadap oleh PH memperlekehkan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya 25 hingga 30 peratus hasil negeri Johor dikekalkan di negeri ini.
Media pada Mei 2024 melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang.
Shahrol Shiro seterusnya menyelar kenyataan pemimpin PH konon BN Johor menggunakan Pemangku Sultan Johor sebagai ‘perisai’ dan ‘senjata politik’.
Jelas beliau, Tunku Mahkota Ismail secara konsisten meminta 25 hingga 30 peratus hasil negeri Johor dikekalkan di negeri ini, bukan hanya ketika pilihan raya.
Kata beliau, titah baginda juga tidak dikawal apatah kerana arahan oleh pihak lain, sebaliknya ikhlas untuk manfaat Johor dan rakyat negeri ini.
Justeru, beliau mempersoalkan mengapa pemimpin PH hanya menjadi kecoh apabila baginda bertitah demikian di Muar baru-baru ini, sedangkan sebelum ini tidak seperti itu. – MYNEWSHUB
Sumber info/foto: Akaun media sosial Shahrol Azizie Azmi


