KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mempertahankan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN)
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen berkata, Kor Ming mengumumkan projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Dia umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi kalau ikut dari segi peraturan pilihan raya itu dibolehkan. Tidak boleh projek baru. Ada projek telah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu.
“Kemudian kita tekankan dan ulang itu tidak ada kesalahan dari peraturan pilihan raya. Saya semak dari segi undang-undang dan juga daripada SPR tentang akta kesalahan pilihan raya. Jadi yang dilakukan itu.
“Yang melanggar etika itu kalau ada sumpah serana, hina, mencerca, menipu itu etika lebih besar,” kata Perdana Menteri.
Mynewshub sebelum ini melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming turun padang membantu mengecat Flat Tun Aminah, Skudai, di Johor.
Menerusi satu rakaman video di muat naik di laman media sosial KPKT, Kor Ming yang juga dilihat mengecat dinding bangunan flat tersebut.
“KPKT lulus RM2.5 juta bagi baik pulih Flat Tun Aminah, Skudai meliputi aspek penggantian bumbung dan kerja-kerja berkaitan,” kata laman media sosial tersebut
Perdana Menteri seterusnya berkata, pengumuman projek yang telah diluluskan sebelum hari penamaan calon tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Menurut beliau, berdasarkan semakan daripada sudut undang-undang serta Akta Kesalahan Pilihan Raya dan pandangan , tindakan mengumumkan projek yang telah diluluskan dalam belanjawan atau kerangka kementerian adalah dibenarkan.
“Yang tidak boleh ialah mengumumkan projek baharu. Kalau projek itu telah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu dan hanya diumumkan semula, itu bukan satu kesalahan daripada sudut peraturan pilihan raya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut menolak persoalan bahawa pengumuman pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel dibuat kerana pilihan raya.
Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu telah diumumkan lebih awal untuk dilaksanakan di seluruh negara, namun pelaksanaannya ditangguhkan sedikit bagi memastikan aspek teknikal di stesen minyak berjalan lancar.
“Memang telah diumumkan penyasaran subsidi dimulakan dengan RON95 dan diikuti diesel. Bagi saya, tidak ada percanggahan kerana ia adalah pelaksanaan yang diumumkan untuk seluruh negara,” katanya. – MYNEWSHUB


