KLANG – Kakitangan POSCO Malaysia mengambil inisiatif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mempertingkatkan tahap keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah, di sini, baru-baru ini.
Program sempena ‘Minggu Sukarelawan Global 2026’ anjuran Kumpulan POSCO itu memfokuskan kepada kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di kawasan sekitar sekolah berkenaan yang terletak berhampiran dengan lokasi operasi syarikat.
Seramai 40 kakitangan syarikat itu berganding bahu dalam aktiviti gotong-royong memotong, menebang dan membersihkan pokok-pokok besar serta rimbun yang dikesan boleh mendatangkan risiko keselamatan serius kepada warga sekolah.
Sebelum ini, kedudukan pokok yang terlalu tinggi dan hampir dengan bangunan sekolah menyebabkan dahannya merosakkan struktur bumbung.
Malah, kehadiran sarang lebah pada dahan pokok terbabit turut mengundang bahaya selepas terdapat laporan insiden pelajar disengat serangga berkenaan sebelum ini.
“Aktiviti sukarelawan ini bukan sekadar usaha penambahbaikan persekitaran yang biasa, malah ia menangani secara langsung isu keselamatan yang menjejaskan kehidupan seharian anak-anak kita.
“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, POSCO Malaysia akan terus mendengar keperluan komuniti setempat dan melaksanakan aktiviti CSR praktikal yang mampu memberikan impak positif,” kata Pengarah Urusan POSCO Malaysia, Kim Jang-chul.
Kumpulan POSCO yang beribu pejabat di Korea Selatan adalah syarikat keluli dan bahan global yang beroperasi di lebih 50 buah negara.
Difahamkan, pihak pengurusan SMK Pulau Indah sebelum ini sudah menyedari risiko ancaman pokok berkenaan, namun kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dilakukan berikutan kekangan peruntukan atau bajet.
Prihatin dengan kemelut itu, POSCO Malaysia turut membiayai dan mengaturkan pelantikan kontraktor bagi memastikan proses penebangan serta pelupusan pokok-pokok berbahaya berkenaan dapat dilakukan secara selamat dan sistematik.
Langkah berkenaan sekali gus berjaya menyelesaikan gangguan keselamatan, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat untuk kegunaan guru serta pelajar.
Menerusi Minggu Sukarelawan Global yang dianjurkan setiap tahun, syarikat itu menggerakkan tenaga kerja globalnya untuk menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk sokongan pendidikan, pemeliharaan alam sekitar dan keselamatan komuniti mengikut keperluan lokaliti masing-masing. – MYNEWSHUB


