KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem menjelaskan beliau memahami punca wujudnya petisyen “Remove Rohingya from Malaysia”
Beliau bagaimanapun menegaskan isu berkaitan lambakan pelarian etnik Rohingya di negara ini bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani kerana mereka tidak boleh dihantar pulang ke negara asal.
“Saya setuju. Saya faham orang marah dan mahu mereka pulang. Tapi soalannya sekarang, nak pulangkan ke mana?
“Akan datanglah nanti manusia-manusia yang atas dasar hak asasi manusia yang mereka sendiri pun ‘tak nak simpan’ Rohingya sebelah rumah dia,” katanya ketika dihubungi Mynewshub hari ini.
Menurut beliau, masalah yang timbul bukan sahaja berpunca daripada pelarian itu sendiri, malah melibatkan pihak tempatan yang membantu mereka melanggar peraturan.
“Mereka ada masalah juga sebenarnya. Kita pula yang bersengkongkol dengan mereka dengan meminjamkan nama untuk beli motosikal, beli kereta,” katanya.
Terdahulu, Mohd Noor Helmy berkata, kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi menangani isu tersebut.
“Jadi, kita perlu kembali kepada satu keputusan dan satu kaedah baharu untuk bagaimana kita boleh menggajikan mereka serta memastikan mereka tertakluk kepada undang-undang,” katanya.
Mynewshub semalam melaporkan bahawa sebuah petisyen dalam talian bertajuk “Remove Rohingya from Malaysia” yang dilancarkan pada 29 Mei lalu telah menerima sebanyak 363,424 tandatangan daripada orang ramai yang menyokong gesaan tersebut.
Menurut penerangan yang disertakan dalam petisyen itu, penganjurnya mendakwa Malaysia berdepan pelbagai cabaran susulan peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang memasuki negara ini.
Mereka mendakwa kemasukan pelarian itu memberi tekanan kepada sumber negara, infrastruktur dan perkhidmatan sosial, selain mewujudkan persaingan untuk mendapatkan kemudahan serta bantuan yang terhad.
Petisyen itu turut mendakwa terdapat kesan ekonomi yang perlu diberi perhatian memandangkan Malaysia sedang berusaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pada masa sama, petisyen tersebut berpendapat pengurusan populasi pelarian yang besar memerlukan sumber serta peruntukan yang signifikan.
Selain itu, penganjur petisyen turut membangkitkan kebimbangan berkaitan aspek keselamatan dengan mendakwa terdapat peningkatan kadar jenayah di kawasan yang mempunyai penempatan pelarian.
Bagaimanapun, petisyen itu mengakui bahawa tidak semua pelarian terlibat dalam kegiatan jenayah dan persepsi tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat. – MYNEWSHUB


