KUALA LUMPUR – Kehadiran orang ramai pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam tadi meningkatkan keyakinan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa gabungan itu akan kekal berkuasa di negeri berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, suasana meriah yang dilaporkan pada program tersebut memberi petanda positif terhadap sokongan rakyat menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Menurut beliau, walaupun tidak dapat menghadiri majlis berkenaan kerana mempunyai komitmen mesyuarat lain, gambar dan maklumat yang diterimanya daripada rakan-rakan menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan.
“Alhamdulillah, meriah betul pelancaran jentera PRN Negeri Sembilan malam tadi. Saya tidak datang sebab ada mesyuarat lain, tetapi daripada suasana yang dikirim rakan-rakan, insya-Allah kita ada harapan untuk Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat’ (PKR), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, amanat disampaikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis berkenaan menjadi pembakar semangat kepada seluruh jentera parti untuk bekerja lebih keras bagi menghadapi pilihan raya.
Beliau menegaskan bahawa Johor dan Negeri Sembilan bukan medan untuk berangan-angan, sebaliknya medan untuk berusaha dan memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat.
“Ayuh rapatkan saf, gandakan gerak kerja dan turun memenangkan Harapan. Kita menangkan Johor dan kita kekalkan kemenangan Negeri Sembilan,” katanya.
Dr Zaliha turut mendakwa rekod pentadbiran PH di Negeri Sembilan sejak 2018 sebagai memberangsangkan termasuk peningkatan rizab negeri dalam tempoh lapan tahun.
Menurutnya, pencapaian tersebut menjadi asas kukuh untuk rakyat terus memberikan mandat kepada PH bagi meneruskan agenda
pembangunan dan kesejahteraan negeri.
“Apalagi yang kita mahu selain dari kekalkan Pakatan Harapan,” katanya. – MYNEWSHUB


