KUALA LUMPUR – PAS menggambarkan meninggalkan parti itu seolah-olah meninggalkan perjuangan Islam satu pendekatan politik berbahaya kepada demokrasi dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS berhak membawa ideologi dan perjuangannya, namun tidak boleh meletakkan parti itu seolah-olah paling suci, paling istiqamah dan paling benar dalam mentafsirkan Islam serta perjuangan Islam.
“Dalam demokrasi, parti politik boleh dikritik, pemimpin boleh dipersoalkan dan rakyat berhak menilai rekod pentadbiran serta konsistensi politik mereka.
“Mengkritik PAS bukan bermakna mengkritik Islam. Mengkritik Presiden PAS bermakna mengkritik seorang ahli politik, bukannya mengkritik ulama,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau mengulas tulisan terbaharu Presiden PAS bertajuk ‘PAS Tidak Ditenggelamkan Selagi Bersama Islam’ yang didakwa memperlihatkan kecenderungan PAS meletakkan parti itu seolah-olah sinonim dengan Islam itu sendiri.
Mengulas lanjut, Mahfuz menegaskan Islam adalah agama suci milik seluruh umat Islam dan bukan milik eksklusif mana-mana parti politik.
“Islam bukan sekadar retorik ceramah. Islam tidak diukur pada panjangnya kenyataan politik, banyaknya petikan ayat al-Quran atau kuatnya slogan agama.
“Sebaliknya, Islam diukur melalui keadilan, amanah, integriti, kebijaksanaan memimpin serta kemampuan menyatukan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, rakyat hari ini semakin matang dan mampu membezakan antara Islam sebagai agama yang suci dengan PAS sebagai sebuah parti politik yang juga tertakluk kepada kelemahan serta penilaian rakyat.
Katanya, Malaysia memerlukan politik yang membawa rahmah, kestabilan dan perpaduan, bukannya politik yang memonopoli agama untuk menghalalkan setiap keputusan parti.
“Islam akan terus mulia tanpa perlu disandarkan kepada mana-mana parti politik.
“Dan tiada parti politik yang menjadi maksum hanya kerana menggunakan dalil agama dalam setiap tulisan dan kenyataan medianya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mahfuz Omar


