JOHOR BAHRU – PAS perlu meneliti semula cadangan awal Perikatan Nasional (PN) bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PN dan parti sahabat telah dibuat di peringkat negeri, keputusan muktamad masih perlu dinilai semula oleh kepimpinan pusat.
Menurut beliau, kajian semasa menunjukkan tiada mana-mana parti boleh terlalu yakin menguasai pilihan raya kerana sebahagian besar pengundi masih belum menunjukkan kecenderungan politik mereka secara terbuka.
Katanya, tahap kekecewaan rakyat terhadap kerajaan ketika ini adalah tinggi dan keadaan itu dijangka memberi kesan kepada kedua-dua blok Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)
“Namun faktor utama yang wajib di pertimbangkan PN terutama PAS adalah dasarnya yang memperjuangkan muafakat dan penyatuan pengundi Melayu-Islam jelas terjejas.
“Justeru perkara ini akan diteliti pucuk pimpinan PAS esok dengan mengambil kira semua perkara termasuk senario menuju PRU-16,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Annuar menegaskan bahawa keutamaan PAS adalah membentuk muafakat politik yang mampu menjamin kestabilan negara dengan teras kekuatan Melayu dan Islam, tanpa mengetepikan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum.
“Keutamaan PAS adalah muafakat yang mampu membentuk kestabilan yg bertunjangkan orang Melayu dan Islam dalam konteks kebersamaan rakyat berbilang bangsa di negara kita,” katanya.
Mynewshub pada 8 Jun lalu melaporkan perpecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu pada PRN Johor boleh memberi kelebihan buat PH khususnya DAP.
Justeru, PAS dicadangkan memberi sokongan kepada BN Johor dalam PRN kali ini untuk mengelakkan undi Melayu terpecah atas dasar muafakat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Tan Sri Annuar Musa


