Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – PAS mengariskan lima ketetapan utama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menggerakkan sepenuhnya jentera parti di 11 kerusi yang ditandingi serta menyeru pengundi supaya tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH).
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas PAS Pusat yang diadakan hari ini dan diumumkan menerusi kenyataan media yang ditandatangani Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut kenyataan tersebut, keutamaan PAS ialah mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam di Johor selain menggerakkan seluruh jentera parti di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
PAS turut memaklumkan parti itu akan mendekati seramai mungkin pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi slogan “Jom Jaga Johor”.
Dalam masa sama, PAS menyeru pengundi supaya tidak memberikan undi kepada PH, termasuk di kawasan yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH.
Selain memberi tumpuan kepada PRN Johor, parti itu juga memutuskan untuk memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.- MYNEWSHUB

![[TIDAK RASMI] Hadi Mendahului Di Parlimen Marang](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2022/11/ABDUL-HADI-AWANG.jpeg)

