MUAR – “Kita ramai ‘Hollywood’. Paling ‘Hollywood’ sekali yang dekat Muar”
Demikian sindiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail terhadap segelintir ahli politik yang gemar ‘berlakon’ di media sosial untuk meraih populariti.
Terdahulu, baginda bertitah, trend golongan muda yang suka terhadap ahli politik yang populis dan gemar ‘berlakon’ dalam media perlu berubah.
Baginda bertitah, golongan muda perlu bijak melakukan penyelidikan menggunakan semua platform yang ada sebelum membuat keputusan.
“Sebagai ahli politik, mereka terpaksa menguar-uarkan dalam media sosial untuk memastikan ada engagement dengan rakyat dan awak nampak mereka punya kerja keras. Itu saya faham.
“Tapi sebelum buat apa-apa keputusan, buat penilaian dulu sebab kita ramai ‘Hollywood’, paling ‘Hollywood’ sekali yang dekat Muar. Jadi saya tak suka dengan ‘Hollywood’, tapi saya suka orang yang melaksanakan tugas yang boleh memperbaiki hidup rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam sesi Podcast Bual Santai Petang DYAM Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah baginda memikul amanah besar untuk memastikan negeri ini terus membangun dan kebajikan Bangsa Johor terpelihara dengan bekerjasama dengan kerajaan yang mampu bekerja.
Baginda mendedahkan mempunyai pengalaman bekerja dengan pihak yang langsung tidak pandai membuat kerja, sebaliknya hanya pandai mencari isu dan salah pihak lain.
“Untuk mencari isu, mencari salah dan menjadi pembangkang memang senang, tetapi apabila diberi kerusi untuk mentadbir, bukan semua orang mampu mentadbir. Rakyat Johor perlu bijak membuat penilaian,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut mendedahkan sumbangan terbesar kepada Bangsa Johor adalah dari keluarga diraja Johor yang membelanjakan lebih RM100 juta setahun.
Ia termasuk sumbangan kepada hospital, bantuan pendidikan, bantuan kepada golongan memerlukan, bekalan makanan serta tajaan menunaikan ibadah haji.
“Tetapi awak tidak nampak kami mewar-warkannya dalam media sosial kerana perbuatan itu dilakukan dengan ikhlas,” titah baginda. – MYNEWSHUB


