JOHOR BAHRU – Kenyataan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa ‘Johor akan jadi Selangor Di tangan PH’ menerima reaksi balas negatif netizen.
Tinjauan Mynewshub di ruangan komen mendapati rata-rata netizen membantah keras pandangan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tersebut.
Meskipun kenyataan tersebut berkenaan aspek pembangunan, netizen melahirkan kebimbangan pelbagai isu yang berlaku di Selangor akan turut dialami di negeri ini.
Pemilik akaun Mohd Nur Azman Naim dalam komennya menegaskan bahawa pandangan itu tidak boleh menjadi realiti kerana Johor akan terus membangun mengikut acuan tersendiri.
“Maaf. Johor kekal Johor dan akan membangun cara Johor. Lain padang, lain belalang,” tegasnya.
Seorang lagi pengguna, Zdin Din, turut menolak tanggapan dengan menegaskan Bangsa Johor mempunyai identiti tersendiri serta sistem yang kukuh daripada institusi istana sehingga kepada kepimpinan negeri dan rakyat.
“Bangsa Johor akan tunjuk bahawa kita bukan jenis ikut-ikutan. Kita ada identiti sendiri. Malah, Bangsa Johor sudah ada organisasi yang mantap, daripada istana kepada Menteri Besar dan seterusnya kepada rakyat,” katanya.
Khairul Hadi pula berpandangan bahawa pembangunan Johor tidak boleh disamakan dengan negeri lain.
“Johor membangun dengan perancangan yang teliti dan teratur mengikut aturan serta protokol Johor,” katanya.
Dalam nada sinis pula, seorang pengguna, Wan Mohd Helmi membangkitkan isu cadangan pembinaan ladang babi berskala besar yang kecoh di Selangor baru-baru ini.
“Jaga-jaga, PH ada cita-cita nak pacak ladang babi berskala industri di Johor. Di Selangor dah tak dapat,” sindirnya.
Muhammad Irfan pula mengingatkan PH tentang beberapa masalah di Selangor masih belum diselesaikan sepenuhnya termasuk banjir.
“Saya Bangsa Johor tetapi duduk di Selangor. Kami bersyukur kerana Johor mempunyai Datuk Onn Hafiz sebagai Menteri Besar,” katanya.
Pengguna Malaysun Tigers turut menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu yang menurutnya sedang berlaku di Selangor.
“Ada flat Rohingya. Lepas itu nak runtuhkan flat tersebut makan kos RM600,000. Orang Selangor undi dia jadi wakil rakyat Selangor atau wakil rakyat Rohingya?” soalnya.
Sementara itu, Qaul Hasan pula berpendapat, beliau khuatir pelbagai polemik politik dan isu kontroversi akan timbul sekiranya PH mahu menjadikan Johor seperti Selangor.
“Nanti akan ada pemimpin yang menyanggah titah sultan. Akan ada juga pemimpin mendesak supaya dibina ladang babi mega untuk membekalkan daging babi ke Singapura dan pasaran dunia,” sindirnya. – MYNEWSHUB


