MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan yang lebih tinggi kepada Johor berbanding hasil disumbangkan negeri itu kepada kerajaan sejak tiga tahun lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mendakwa, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, Johor menyumbang kira-kira RM14 bilion hasil kepada Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Bagaimanapun, dakwanya, Kerajaan Persekutuan menyalurkan semula RM16 bilion kepada Johor melalui pelbagai projek pembangunan, peruntukan pengurusan dan program berkaitan.
“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, hasil Persekutuan yang dikutip dari Johor bagi 2023 hingga 2025 berjumlah RM14 bilion.
“Berapa kita beri balik melalui pelbagai projek, pengurusan dan pembangunan keseluruhannya? Sejumlah RM16 bilion untuk negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi.
Kenyataan itu mengundang kritikan netizen yang menyifatkan angka tersebut mengelirukan kerana ia bermaksud sumbangan hasil Johor kepada Kerajaan Persekutuan hanya sekitar RM4.7 bilion setahun.
“PMX kata dari 2023 hingga 2025, Johor hanya menyumbang kira-kira RM14 bilion hasil kepada kerajaan Persekutuan.
“Kemudian dia kata kerajaan Persekutuan pula menyalurkan kira-kira RM16 bilion kepada Johor. RM14 bilion untuk tiga tahun bermakna purata cuma RM4.7 bilion setahun.
“Sedangkan saiz ekonomi Johor hari ini sekitar RM168 bilion setahun. Itu hanya kira-kira 2.8 peratus daripada ekonomi Johor,” kata netizen. – MYNEWSHUB


