KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat seperti projek LRT3 Laluan Shah Alam.
Menurut beliau, projek seperti itu memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memastikan kemajuan yang dikecapi memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat hari ini dan generasi akan datang.
“Sewaktu merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam, saya tekankan komitmen Kerajaan Madani untuk terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.
Terdahulu, Anwar berkata, pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, cekap dan bersepadu.
Menurut beliau, projek itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah membawa limpahan manfaat yang besar kepada jutaan penduduk di sepanjang jajaran.
Kata beliau, dengan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai, rakyat dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan harian di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Tambah beliau, LRT3 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang akan merangsang pelaburan baharu, memperluas peluang perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing.
“Jaringan pengangkutan yang lebih baik juga membuka akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan penting.
“Sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan saksama,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


