OLEH MYNEWSHUB
LAWAS – Kejadian letusan gas yang berlaku di tapak pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) Seksyen 2 di Kuala Lawas pada Rabu lalu masih dalam pemantauan rapi pihak berkuasa bagi memastikan tahap keselamatan kawasan serta mengenal pasti punca sebenar insiden.
Hari ini, pasukan khas daripada Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri dilaporkan tiba di lokasi untuk menjalankan kerja pensampelan gas serta bahan lain yang turut keluar daripada paip gerudi di kawasan kejadian.
Operasi di lapangan turut melibatkan beberapa agensi termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA) serta pegawai daripada Jabatan Kimia Malaysia cawangan Bintulu.
Difahamkan, semua sampel yang dikumpulkan akan dihantar ke makmal Jabatan Kimia Malaysia di Bintulu untuk proses analisis dan pengesahan sebelum sebarang keputusan atau kenyataan rasmi diumumkan kepada umum.
Sehingga kini, pihak yang terlibat masih belum mengeluarkan sebarang penjelasan berhubung jenis gas yang terlibat atau tahap risiko di kawasan berkenaan.
Bagi tujuan keselamatan, lokasi kejadian terus dikawal ketat dan ditutup kepada orang awam sementara kerja pemantauan serta penilaian teknikal dijalankan.
Terdahulu, kerja penggerudian di tapak projek NCH Seksyen 2 dilaporkan terhenti selepas berlaku letusan gas pada kira-kira jam 12.33 tengah hari, 10 Jun lalu.
Insiden itu berlaku ketika aktiviti penggerudian dijalankan pada kedalaman sekitar 45 meter.
Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai kecederaan atau kerosakan besar akibat kejadian berkenaan.-MYNEWSHUB


