KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tampil mempertahankan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi susulan kritikan pihak tertentu terhadapnya.
Menurut Akmal, Onn Hafiz sebelum ini pernah digelar “budak” dan turut dilabel sebagai “racist”, namun beliau tetap tenang serta tidak melayan serangan yang ditujukan kepadanya.
Malah, Akmal mendakwa pihak yang mengkritik Onn Hafiz kini semakin terdesak sehingga sanggup menyentuh aspek fizikal Menteri Besar Johor itu.
“Kamu gelar dia budak, Onn Hafiz kekal tenang. Kamu gelar dia ‘racist’, Onn Hafiz langsung tak layan. Hari ini kamu koyak sangat sampai sentuh bentuk fizikal dia pula. Betul-betul koyak geng kamu ni,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau turut memuji sikap tenang yang ditunjukkan Onn Hafiz walaupun berdepan pelbagai serangan peribadi dan sindiran politik.
“Yang tetap steady, Onn,” katanya sambil menyertakan emoji tanda sokongan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu.
Dalam hantaran sama, Akmal secara sinis mengemukakan soalan kepada pihak yang mengkritik Onn Hafiz mengenai reaksi mereka sekiranya dilabel dengan gelaran berkaitan fizikal.
“Nak tanya kalau ada orang gelar kamu ‘gemuk tiada leher’, agak-agak kamu marah tak? Ni soalan tau, bukan kenyataan, sebab nak tahu je,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dipercayai menyindir Onn Hafiz apabila berkata bahawa ada individu yang merasakan diri mereka lebih tinggi daripada orang lain walaupun tidak berapa tinggi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


