Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) Edisi Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun ini di Morten Walk menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Penganjuran kali kedua karnival di bawah inisiatif Hebatkan Perniagaan Malaysia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu membawa tema “Jom Singgah SDSI” dengan fokus memperkukuh budaya keusahawanan, memperluaskan akses pasaran serta membuka peluang jaringan perniagaan kepada usahawan tempatan. Program tersebut merupakan cetusan idea Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

KHPM Edisi Melaka menghimpunkan pelbagai program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi menerusi pameran produk, sesi perkongsian ilmu, padanan perniagaan dan khidmat nasihat keusahawanan.

Antara tarikan utama yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung ialah Jualan MADANI KUSKOP (JMK) yang menawarkan diskaun sehingga 20 peratus bagi 60 jenis barangan keperluan asas termasuk beras, tepung, bahan pencuci, ayam, daging, telur dan minyak masak.
Lebih menarik, promosi happy hour pada tengah hari 21 Jun akan menyaksikan beberapa barangan keperluan asas dijual pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran. Program itu menyasarkan potensi jualan sebanyak RM135,000 sepanjang tiga hari penganjuran.

Selain membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih berpatutan, karnival tersebut turut menyediakan pelbagai peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan menerusi sesi padanan perniagaan (business matching), pameran produk serta khidmat konsultasi keusahawanan.
Sesi padanan perniagaan anjuran SME Corp. Malaysia dijangka menjadi platform penting kepada usahawan untuk bertemu pembeli, pelabur, pemborong dan syarikat peneraju industri bagi meneroka peluang pasaran baharu. Setakat ini, tujuh syarikat peneraju daripada industri peruncitan dan pemborongan telah mengesahkan penyertaan dengan sasaran potensi urus niaga mencecah RM1 juta.
Bagi memudahkan urusan usahawan mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan, geran, latihan dan pembangunan perniagaan, KUSKOP bersama sembilan agensi di bawah kementerian itu turut membuka Kaunter Konsultasi Keusahawanan sepanjang tempoh karnival berlangsung.
Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang menjadi antara tunjang utama penganjuran pula terus memainkan peranan dalam memperkasa produk dan perkhidmatan tempatan, sekali gus memperkenalkan potensi serta kualiti produk keluaran usahawan SDSI kepada masyarakat dan pelancong.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata penganjuran KHPM dijangka memberi limpahan ekonomi kepada Melaka melalui peningkatan aktiviti perniagaan, aliran pengunjung dan permintaan terhadap sektor sokongan termasuk perhotelan, makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan pengangkutan tempatan.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pelbagai aktiviti gaya hidup dan komuniti turut disediakan termasuk Program Halal Sukses KUSKOP, Sembang Usahawan Selebriti, perkongsian ilmu perniagaan, Morten Berselawat, E-Sukan, Wayang Pacak, demonstrasi mencanting batik, Zumba Lambak, Dapur Aneka Rasa, Jom Naik Beca Berhias, Konsert XPDC, Pertandingan Mewarna Kelab Nuri, Treasure Hunt, pameran automotif dan EV, pertandingan mural dan grafiti serta cabutan bertuah.
Orang ramai khususnya warga Melaka dan negeri-negeri berhampiran dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai peluang keusahawanan yang ditawarkan selain menikmati pelbagai aktiviti menarik sepanjang karnival berlangsung.


