KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani berpendirian isu pelarian perlu diuruskan secara berhemah, berasaskan fakta serta mengambil kira pertimbangan keselamatan dan kemanusiaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, ia mencerminkan pendirian Kerajaan Madani dalam menangani salah satu cabaran migrasi paling kompleks yang dihadapi negara sejak sekian lama.
“Hakikatnya, Malaysia telah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR selama berpuluh tahun.
“Namun sehingga kini, kerajaan tidak mempunyai data yang lengkap dan menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada di dalam negara atas kapasiti tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
KDN berkata, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan dan KDN perlu memastikan setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh kerajaan Malaysia sendiri.
Justeru, katanya, berpandukan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia.
Jelas KDN, proses itu melibatkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.
“Melalui DPP, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan dan latar belakang individu yang terlibat dikenal pasti dengan lebih tepat.
“Data ini amat penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh,” katanya.
Tambah KDN, ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian dan pemegang kad UNHCR diperkemas berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan.
“KDN ingin menegaskan bahawa proses DPP bukanlah suatu bentuk pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.
“Sebaliknya, ia merupakan instrumen penting
bagi memastikan kerajaan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap isu migrasi dan keselamatan negara,” katanya.
Kata KDN, prinsip yang dipegang kerajaan adalah jelas iaitu keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi, namun pada masa yang sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kerajaan Madani percaya bahawa pengurusan migrasi yang berkesan bermula dengan data yang tepat. Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali, dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara,” katanya. – MYNEWSHUB


