KUALA LUMPUR – Pelumba negara dari pasukan JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, terus melakar kejayaan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 apabila meraih kemenangan pada pusingan ketiga yang berlangsung di Mobility Resort Motegi, Jepun semalam.
Hafizh Syahrin, yang memulakan perlumbaan dari petak pertama kategori ASB1000, menamatkan saingan dengan catatan masa keseluruhan 27 minit 33.273 saat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak carta keseluruhan dengan 150 mata.
Beliau diekori pelumba SRC Harc-Pro Honda Philippines, Keito Abe, yang mengumpul 116 mata, manakala Andi Farid Izdihar dan Nakarin masing-masing berada di tangga ketiga dan keempat.
Lebih membanggakan, Hafizh Syahrin turut memadam rekod lama litar Motegi serta membawa pulang bonus lumayan berjumlah ¥1 juta (kira-kira RM29,000).
Pelumba JDT Racing Team itu mencatat masa terpantas 1 minit 48.951 saat untuk mencipta rekod baharu kategori ASB1000 di Mobility Resort Motegi, sekali gus memadam rekod terdahulu yang bertahan sebelum ini.
Pusingan ketiga ARRC akan diteruskan di Litar Mandalika, Indonesia pada 7 hingga 9 Ogos depan. – MYNEWSHUB


