Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa umat Islam wajib keluar mengundi kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab agama untuk memilih pemimpin yang dapat melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
Menerusi hantaran di media sosial pada Isnin, Hadi berkata kewajipan mengundi bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat, malah menjadi amanah yang akan dipersoalkan di sisi Allah SWT sekiranya diabaikan.
Beliau turut memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa kegagalan mencegah kemungkaran boleh mengundang bala kepada seluruh masyarakat, termasuk golongan yang berbuat baik.
“Sama ada kamu menyuruh kepada kebajikan dan kamu mencegah kemungkaran atau (kalau kamu meninggalkannya) nescaya Allah (akan menguji kamu) dengan bencana orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu kamu ditimpa azab Allah yang seburuk-buruknya. Kemudian, orang-orang yang baik dalam kalangan kamu berdoa, maka doa itu tidak diperkenankan.” [Hadis diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, No. 2169, daripada Huzaifah bin al-Yaman. Diriwayatkan juga oleh al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id, No. 12134, daripada Abu Hurairah]
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, umat Islam perlu memainkan peranan dalam politik kerana pemerintahan sesebuah negara akan dipersoalkan di akhirat, selain menjadi medan untuk menegakkan syariat serta menjaga kepentingan agama.
Dalam masa sama, Hadi menjelaskan bahawa pendirian tersebut tidak bermaksud bersikap fanatik terhadap agama atau bangsa, sebaliknya menegaskan Islam mewajibkan keadilan kepada semua manusia termasuk dalam masyarakat majmuk.
Beliau turut memetik firman Allah SWT daripada Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9 yang menjelaskan bahawa Islam tidak melarang umatnya berbuat baik serta berlaku adil kepada golongan bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam.
Katanya, pengalaman masyarakat Melayu Islam yang hidup bersama kaum lain di Malaysia membuktikan bahawa Islam menggalakkan kehidupan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang Melayu Islam supaya bersatu memilih pemimpin yang menurutnya tidak ekstrem terhadap Islam, tidak dipengaruhi golongan yang memusuhi agama serta mampu mempertahankan kepentingan agama dan bangsa.
Hantaran tersebut dibuat ketika negara sedang menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri, dengan isu penyertaan pengundi dijangka menjadi antara fokus utama semua parti politik dalam usaha meraih sokongan rakyat.-MYNEWSHUB

![[TIDAK RASMI] Hadi Mendahului Di Parlimen Marang](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2022/11/ABDUL-HADI-AWANG.jpeg)
