KUALA LUMPUR – Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 mengalami kecederaan ringan akibat kesan sampingan insiden serangan udara yang berlaku di kawasan berhampiran Haris, Lebanon pagi ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden berlaku pukul 9.25 pagi waktu tempatan, kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di kawasan Tibnin.
Menurut beliau, kejadian itu melibatkan konvoi logistik MALBATT 850-13 yang sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.
“Akibat kejadian tersebut, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan, manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan material luaran.
“Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 telah diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terlibat serta menguruskan pemulihan kenderaan yang terjejas kembali ke pangkalan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohamed Khaled berkata, pasukan yang tiba di lokasi telah melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat.
Kata beliau, kedua-dua anggota MALBATT 850-13 yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan. Waris-waris anggota yang terlibat juga telah dimaklumkan mengenai insiden ini,” katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah memperkukuh keselamatan anggota, MALBATT 850-13 telah meningkatkan langkah berjaga-jaga termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi.
Kata beliau, turut dipertingkatkan aspek pemantauan situasi keselamatan semasa, memperkukuh koordinasi dengan pihak UNIFIL serta melaksanakan penilaian risiko yang lebih menyeluruh sebelum sebarang pergerakan di kawasan operasi.
“Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia akan terus memantau perkembangan situasi keselamatan di kawasan operasi.
“Memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pelaksanaan mandat misi pengaman di Lubnan,” katanya. – MYNEWSHUB


