LEBANON – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan rasa tersentuh melihat sendiri semangat, disiplin dan dedikasi anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL)
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata, pertemuan bersama anggota MALBATT 850-13 di Kem Marakah menjadi antara pengisian ketika mengakhiri lawatannya ke kem berkenaan.
Menurut Khaled, tugas yang dilaksanakan anggota negara dalam suasana konflik berlarutan menuntut tahap kesiagaan tinggi, selain pengorbanan besar kerana berjauhan daripada keluarga dan tanah air.
“Sumbangan mereka bukan sahaja kepada keamanan sejagat, malah terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada anggota MALBATT 850-13 supaya berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan misi berkenaan dengan rakyat Malaysia apabila pulang ke tanah air kelak.
Menurutnya, pengalaman anggota berkenaan penting bagi memberi kesedaran bahawa keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati rakyat negara ini bukan sesuatu yang hadir dengan sendiri, sebaliknya perlu sentiasa dipelihara.
“Terima kasih atas segala sumbangan dan pengorbanan. Jaga diri, kesihatan dan keselamatan. Doa kami sentiasa mengiringi kalian. Malaysia berbangga dengan kalian. Jumpa lagi di tanah air, Insya-Allah,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Khaled berkata beliau turut mengambil kesempatan meninjau sekitar Kem Marakah bagi melihat sendiri kehidupan seharian anggota MALBATT sepanjang bertugas di Lebanon.
Beliau turut meninjau beberapa kemudahan yang disediakan bagi menyokong penugasan serta keperluan harian anggota sepanjang
berada di kem berkenaan.
Katanya, lawatan itu memberi gambaran lebih dekat mengenai kehidupan anggota Malaysia yang berjauhan daripada tanah air dalam melaksanakan amanah negara di bawah misi UNIFIL. – MYNEWSHUB


