KUALA LUMPUR – Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen mempersoalkan mengapa Deklarasi Setapak pada tahun 1967 masih terpampang dalam portal rasmi parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP.
Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen berkata, deklarasi itu secara jelas menyatakan dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dan di atas prinsip itulah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ di tentang.
“Adakah Deklarasi Setapak tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Ia dokumen rasmi yang diterbitkan oleh DAP serta menjadi naratif yang disebar luas sejak sekian lama kepada penyokong mereka khususnya masyarakat Cina,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Ivone Low berkata, jika benar DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153, maka kepimpinan DAP perlu menunjukkan keikhlasan mereka melalui tindakan, bukan sekadar kenyataan politik.
Kata beliau, DAP yang mendabik dada mempunyai 95 peratus sokongan masyarakat Cina juga perlu menyatakan pendirian adakah Deklarasi Setapak tersebut hanya digunakan untuk menarik sokongan semata-mata?
“Jika tiada penjelasan diberikan, maka ini pasti akan membuatkan masyarakat menganggap DAP seperti ‘talam dua muka’.
“Depan masyarakat Melayu kata junjung Perlembagaan Persekutuan, tetapi depan masyarakat Cina, mengangkat Deklarasi Setapak,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


