KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berpandangan isu pelarian Rohingya yang mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat tempatan perlu ditangani secara seimbang antara tuntutan kemanusiaan dan kepentingan rakyat setempat.
Menurut beliau, golongan pelarian itu wajar dibantu atas dasar kemanusiaan serta persaudaraan sesama Islam, namun bantuan yang diberikan tidak seharusnya sehingga menjejaskan kehidupan dan ketenteraman masyarakat tempatan.
“Saya berpandangan, atas sifat kemanusian dan saudara seagama, mereka perlu dibantu.
“Bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya, walaupun kita nak tolong orang, bukan mesti orang yang kita nak tolong dibawa balik ke rumah sehingga kehidupan keluarga kita pula jadi haru biru dan terganggu kerana tindak tanduk mereka,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dr Azman berkata, keadaan itu boleh diibaratkan seperti membantu seseorang yang memerlukan, namun pada masa sama perlu ada batas dan kawalan supaya bantuan tersebut tidak menimbulkan masalah baharu kepada pihak yang membantu.
Kenyataan beliau hadir ketika isu pelarian Rohingya kembali hangat diperkatakan susulan pelbagai aduan berkaitan ketenteraman awam dan kehidupan komuniti setempat.
Perbahasan mengenai isu Rohingya sejak sekian lama menyaksikan pelbagai pandangan, termasuk keperluan menjaga aspek kemanusiaan, keselamatan serta keharmonian sosial dalam negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dr Azman Ibrahim
