JOHOR BAHRU – Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa syukur atas kejayaan luar biasa yang dicapai kelab itu sepanjang musim 2025/26.
Menerusi hantaran di media sosial, baginda menyifatkan segala kejayaan yang diraih JDT
menutup musim dengan penuh gemilang adalah dengan ketentuan Allah SWT.
“Alhamdulillah for this season and all the success all these years. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan segala-galanya,” tulis baginda.
Kenyataan itu hadir ketika JDT terus mencipta sejarah sebagai pasukan paling dominan dalam bola sepak Malaysia apabila memenangi kesemua trofi domestik utama musim 2025/26.
Pada 23 Mei lalu, Harimau Selatan melengkapkan penguasaan mereka selepas menewaskan Kuching City 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kejayaan itu menyaksikan JDT merangkul Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dalam satu musim, sekali gus menjadi kelab pertama dalam sejarah bola sepak negara yang memenangi kesemua trofi domestik selama empat musim berturut-turut.
Lebih membanggakan, skuad kendalian JDT turut melengkapkan empat musim berturut-turut tanpa kalah dalam saingan domestik iaitu pada musim 2022, 2023, 2024/25 dan 2025/26.
Ia suatu pencapaian bersejarah yang belum pernah dicapai oleh mana-mana kelab lain di Malaysia.
Kejayaan bersejarah tersebut turut diraikan ribuan penyokong JDT pada majlis sambutan penuh gilang-gemilang di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam kelmarin.
Stadium ikonik itu dibanjiri penyokong Harimau Selatan yang hadir untuk meraikan kejayaan, selain menyaksikan persembahan serta pelbagai acara khas sebagai tanda penghargaan terhadap mereka. – MYNEWSHUB


