KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kerana membuat kenyataan seolah-olah calon UMNO Johor tidak menepati aspirasi orang muda.
Menurut beliau, sebanyak 13 calon UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam berusia bawah 40 tahun.
“Saya nak tanya aspirasi orang muda macam mana yang Datuk Puad nak. Sebelum ni Datuk Puad sendiri yang cakap kalau boleh nak calon bawah 50 tahun.
“Alhamdulillah semalam setelah diumumkan 13 calon bawah (usia) 40 kan? Belum bawah (usia) 50. Bawah (usia) 40 sahaja dah 13. Ini semua orang muda,” katanya menerusi satu rakaman video di muat naik di media sosial hari ini.
Muhamad Akmal seterusnya mempersoalkan adakah kenyataan Mohd Puad itu ekoran permintaan beliau supaya UMNO mencalonkan anaknya di DUN Rengit tidak diterima.
Beliau mengingatkan Mohd Puad bahawa UMNO bukan parti anak beranak kerana ramai lagi orang muda yang ada telah dipilih untuk menjadi calon BN.
“Jadi kalau anak Datuk Puad tak dapat menjadi calon, tak apalah. Tidak bermakna UMNO Johor tidak menjadi aspirasi.
“Malah saya nak tanya juga pada PRN Johor yang lepas Datuk Puad umur lebih kurang 63 hingga 64. Adakah itu menepati aspirasi orang muda?
“Bila Datuk Puad dapat boleh pula, tapi bila permintaan anak gantikan Datuk Puad, UMNO Johor tak ada aspirasi orang muda. Datuk Puad tolonglah ye…” katanya.
Muhamad Akmal berkata, jasa Mohd Puad terhadap UMNO namun akan sentiasa dihormati walaupun jasa UMNO kepada Mohd Puad sebenarnya jauh lebih banyak.
“Datuk Puad pernah dilantik jadi Timbalan Menteri. Pernah dilantik jadi Ahli Parlimen. Pernah dilantik jadi Speaker. Pernah dilantik jadi ADUN. Pernah dilantik jadi Ketua Pengarah Jasa.
“Jadi maksudnya saya percaya kalau tak ada sebab UMNO, Datuk Puad mungkin tak dapat dilantik itu. Tapi tak apalah. Kita hormati jasa dan juga keputusan Datuk Puad,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


