“Ajaib Bila Tiba Semua Dah Selesai, Takkan Kena Pengerusi Mara Turun Baru Selesai”
Oleh Mynewshub
SEMENYIH – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa kecewa asrama baharu Kolej Profesional Mara Beranang (KPM Beranang) yang telah siap dibina sejak tahun lalu masih gagal beroperasi akibat isu Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)
Bagaimanapun, katanya, beliau berasa hairan apabila tiba-tiba diberitahu perkara itu telah pun diselesaikan apabila beliau membuat keputusan untuk melakukan lawatan mengejut ke institusi pendidikan tersebut.
“Terjah KPM Beranang setelah terima banyak aduan pelajar bangunan asrama baru dibina masih belum dapat CCC dan dibuat penyerahan.
“Ajaib! Bila tiba, dimaklumkan semua dah selesai. Takkan kena Pengerusi Mara turun baru selesai,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima keluhan pelajar dan ibu bapa yang terpaksa menyewa rumah dengan kos tinggi di luar kerana asrama yang siap sejak 2025 masih tidak dapat digunakan berikutan CCC belum diperoleh.
Beliau menjelaskan projek pembangunan asrama baharu itu berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bermula pada tahun 2021 dan mengikut kontrak asal, projek tersebut sepatutnya siap pada tahun 2023.
Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan selepas diberikan lanjutan masa sebanyak lapan kali, selain dikenakan denda melebihi RM200,000 kepada kontraktor terlibat.
Menurutnya, walaupun bangunan itu siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025, CCC masih gagal diperoleh daripada Majlis Perbandaran Kajang kerana terdapat dua dokumen belum dilengkapkan termasuk melibatkan pembentungan yang perlu diselesaikan oleh kontraktor.
Sehubungan itu, beliau menetapkan tempoh sehingga 15 Julai depan untuk semua urusan berkaitan diselesaikan sepenuhnya sebelum asrama tersebut diserahkan dan mula beroperasi.
“Saya akan turun sekali lagi untuk memastikan semuanya benar-benar selesai dan asrama boleh digunakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berharap isu yang berlarutan itu dapat diselesaikan segera bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 946 pelajar baharu yang dijadualkan mendaftar masuk pada 30 Julai nanti. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


