SEGAMAT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mendakwa Melaka kini ‘dilimpahi’ oleh rakyat Johor Utara disebabkan oleh pembangunan yang berlaku di Sungai Rambai.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa, banyak pembangunan di Sungai Rambai dilaksanakan semasa beliau menjadi Ketua Menteri Melaka.
Justeru, katanya, PH sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu memberi perhatian terhadap pembangunan ekonomi di Johor Utara.
“Kalau menang di Johor ini, tengok-tengoklah Johor Utara. Jangan tumpu saja pada Johor Selatan kerana sebahagian rakyat di Johor Utara sudah melimpah sehingga ke Melaka di Sungai Rambai kerana pembangunan di Melaka.
“Saya ingat dulu saya jadi Ketua Menteri memang banyak projek pembangunan perumahan di Sungai Rambai sebab pembelinya banyak orang Muar. Jadi kena tengok juga pembangunan di situ kerana kesannya orang Melaka pun tak berapa suka.
“Memanglah suka, boleh jual rumah, boleh buat projek perumahan, tapi Melaka itu tak besar. Kalau orang Muar lama-lama duduk di Melaka itu terjajahlah Melaka itu,” katanya pada Ceramah Perdana PH malam tadi. – MYNEWSHUB


