ISKANDAR PUTERI – Pertunjukan dron yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim malam ini sempena sambutan kejuaraan Liga Super ke-12 Johor Darul Ta’zim (JDT) ternyata memukau orang ramai yang menyaksikannya.
Persembahan cahaya di ruang udara stadium itu menampilkan pelbagai formasi kreatif yang menggambarkan identiti dan kegemilangan Harimau Selatan, sekali gus menerima sorakan gemuruh daripada para penyokong.
Antara paparan paling menarik perhatian adalah perkataan “Johor” yang dipersembahkan dalam tulisan jawi, mencerminkan identiti negeri serta warisan budaya yang menjadi kebanggaan rakyat Johor.
Selain itu, formasi dron turut membentuk imej bendera Johor, logo rasmi JDT dan wajah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab berkenaan.
Paparan udara itu turut memaparkan elemen berkaitan kejayaan JDT menguasai bola sepak tempatan apabila menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, satu pencapaian yang belum pernah dicapai oleh mana-mana pasukan lain di Malaysia.
Pertunjukan berteknologi tinggi itu menjadi antara kemuncak acara JDT Realm of 12, selain persembahan artis antarabangsa termasuk penyanyi rap terkenal, 50 Cent, serta penampilan kumpulan tarian terkenal dunia, Jabbawockeez dan Royal Family.
Acara sambutan turut diserikan dengan paparan realiti terimbuh (AR Tigers), persembahan multimedia, upacara meraikan kejuaraan Liga Super dan pertunjukan bunga api yang memukau para penyokong.
Sambutan gilang-gemilang tersebut sekali lagi membuktikan kemampuan JDT menganjurkan acara bertaraf antarabangsa, seiring status kelab itu sebagai kuasa dominan bola sepak Malaysia. – MYNEWSHUB


