KUALA LUMPUR – Rapid KL mengesahkan sebuah tren tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin pagi tadi, sekali gus menjejaskan jadual perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid KL memaklumkan insiden itu menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak dan mengakibatkan gangguan operasi di laluan berkenaan.
Rapid KL turut mengesahkan gambar-gambar insiden yang tular di media sosial adalah sahih.
Menurut kenyataan itu, seramai 25 penumpang berada di dalam tren ketika kejadian berlaku dan kesemua mereka berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi ditetapkan.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Keselamatan penumpang dan petugas adalah keutamaan kami,” menurut kenyataan tersebut.
Rapid KL memaklumkan pasukan teknikali sedang menjalankan siasatan lanjut selain kerja-kerja pemulihan di lokasi kejadian.
Susulan itu, pelan perkhidmatan alternatif yang dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan perjalanan penumpang.
Antara langkah diambil termasuk pengaktifan tren alternatif serta penyediaan bas perantara percuma sehingga tamat waktu operasi.
Setakat pukul 3.30 petang tadi, Rapid KL memaklumkan kerja-kerja baik pulih masih giat dijalankan.
“Anggota Polis Bantuan dan kakitangan tambahan ditempatkan di lapangan bagi membantu pergerakan penumpang.
“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara kekal aktif sehingga tamat waktu operasi,” kata Rapid KL. – MYNEWSHUB


