KUALA LUMPUR – Pengguna yang membeli kenderaan menerusi pembiayaan sewa beli bakal menikmati sistem pinjaman yang lebih telus dan adil apabila Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 mula dikuatkuasakan secara rasmi pada 1 Jun 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan akta itu merupakan langkah penting kerajaan bagi memperkukuh perlindungan pengguna serta memperbaiki ekosistem kredit pengguna di negara ini.
Menurut beliau, antara masalah utama yang sering menjadi rungutan rakyat sebelum ini ialah caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun peminjam membuat penyelesaian awal pembiayaan.
“Keadaan ini menyebabkan pengguna yang ingin melangsaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki hutang yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pindaan baharu itu memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78) yang sebelum ini menyebabkan sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal digunakan untuk membayar faedah.
Sebaliknya, sistem baharu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate), di mana faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa.
Melalui kaedah tersebut, pengguna yang membuat penyelesaian awal pinjaman tidak lagi dibebankan dengan baki pinjaman yang tidak munasabah, sekali gus menjadikan proses pembiayaan lebih adil dan telus.
Selain itu, pindaan akta berkenaan turut menyokong transformasi digital melalui penggunaan tandatangan elektronik serta penyerahan dokumen secara digital dalam urusan perjanjian sewa beli.
Bagi meningkatkan keselamatan transaksi, keperluan pelaksanaan usaha wajar (due diligence) untuk pengesahan identiti peminjam turut diperkenalkan bagi mengurangkan risiko penipuan.
Armizan berkata, pada fasa pertama bermula esok, sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli telah bersedia sepenuhnya untuk menawarkan pembiayaan berdasarkan peruntukan baharu tersebut.
Fasa kedua pula dijadual bermula pada September 2026, manakala institusi kewangan dan syarikat yang masih menjalankan proses integrasi serta pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.
Beliau berkata, reformasi undang-undang itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus, berintegriti dan berdaya saing, selain melindungi hak serta kepentingan pengguna di seluruh negara.
Pengguna yang ingin menikmati manfaat di bawah peruntukan baharu itu dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan sebarang perjanjian sewa beli. – MYNEWSHUB


