KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti latihan ketenteraan yang dirancang di kawasan kepulauan negeri ini kerana dikhuatiri boleh menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, baginda bertitah bahawa latihan ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilaksanakan secara terkawal, bertanggungjawab serta selamat selain mengambil kira keharmonian alam sekitar dan kepentingan semua pihak.
Titah baginda, aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran serta pengalaman pegawai dan anggota tentera tidak ditolak, namun pelaksanaannya mesti mematuhi prosedur yang sewajarnya serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak.
Sehubungan itu, Tengku Mahkota Pahang menitahkan supaya pihak ATM serta semua jabatan dan agensi berkaitan mendapatkan perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di Pahang.
Baginda turut menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi serta menjunjung titah tersebut dan tidak akan teragak-agak meminta kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang pelanggaran prosedur. – MYNEWSHUB


