KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mempertahankan kenyataannya berhubung penganjuran Rain Rave semalam.
Beliau mendakwa, kenyataannya yang menimbulkan bantahan ramai netizen tersebut adalah perkara yang betul untuk diperkatakan.
“Ana Rasa, ana perlu cakap benda yang betul.. Itu ja.. simple,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Sheikh Umar dalam satu hantaran semalam mendakwa aktiviti Rain Rave perlu dilihat sebagai sebahagian daripada industri ‘tourism economy’ yang semakin kompetitif.
Dakwa beliau, acara itu berpotensi merangsang sektor perhotelan dan perkhidmatan serta mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat.
Justeru, katanya, perbincangan berhubung festival itu tidak wajar terperangkap dalam kerangka hitam-putih antara ‘haram sepenuhnya’ atau ‘bebas sepenuhnya’
Sebaliknya, perlu melihatnya dalam kerangka sesuatu dasar atau aktiviti yang memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sheikh Omar Ali
