JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T
Baginda menzahirkan saya syukur ke hadrat Ilahi selepas kelab itu kini hanya selangkah untuk mencipta rekod dunia baharu bola sepak.
“Segala puji bagi Allah..,” titah baginda menerusi hantaran di laman X.
Semalam, JDT mencipta sejarah apabila menyamai rekod dunia milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas dengan 108 perlawanan liga tanpa kalah.
Ia selepas kemenangan besar 14-1 ke atas Kelantan TRW FC dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Harimau Selatan terus mengekalkan rekod kebal dalam saingan liga sejak April 2021 sekali gus mengukuhkan dominasi mereka dalam bola sepak tempatan.
Lebih membanggakan, JDT kini hanya selangkah untuk mencipta rekod dunia baharu sekiranya berjaya mengelakkan kekalahan dalam aksi pembukaan musim Liga Super 2026/2027 yang dijangka bermula pada Ogos depan.
Dalam masa sama, JDT turut melengkapkan empat musim Liga Super tanpa kalah berturut-turut selain keseluruhan enam musim tanpa kalah termasuk musim 2016 dan 2020.
Prestasi luar biasa itu sekali lagi membuktikan keunggulan kelab milik Tunku Mahkota Ismail yang terus membawa JDT muncul sebagai kuasa besar bola sepak Asia Tenggara. – MYNEWSHUB


