KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui beliau sering menjadi sasaran pelbagai sindiran dan gelaran seperti ‘raja formula’, ‘merajuk’ serta ‘nyet nyet nyet’
Menurut beliau, ejekan tersebut namun tidak dapat menafikan pendiriannya selama ini lebih tertumpu kepada usaha mencari penyelesaian baharu demi generasi masa depan.
“Pandangan saya yang berbeza dari mereka tidak berkisar kepada kuasa, jawatan atau berebut harta.
“Pandangan saya berkisar kepada cara-cara menangani masalah supaya generasi akan datang boleh hidup lebih baik,” katanya ketika majlis Pengumuman Hala Tuju Politik hari ini.
Rafizi berkata, pendekatan berasaskan formula dan idea kreatif perlu diketengahkan kerana negara tidak boleh terus mengulangi kaedah lama yang terbukti gagal.
Menurut beliau, penyelesaian kreatif sering sukar diterima masyarakat dan memerlukan keberanian moral serta iltizam politik yang kuat untuk dilaksanakan.
“Kita mesti kreatif menyelesaikan masalah dan penyelesaian kreatif tidak akan diterima dengan mudah oleh masyarakat. Sebab itu kena ada keberanian moral dan kepimpinan politik yang lebih berani,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok.
Menurut mereka, surat rasmi berkaitan perkara itu akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul pada esok.
Kedua-dua mereka turut menegaskan perjuangan politik mereka selepas ini akan memberi tumpuan kepada pembinaan generasi kepimpinan baharu menerusi Parti Bersama Malaysia (Bersama)
Malah, mereka tidak menolak kemungkinan Bersama akan menawarkan calon dalam pilihan raya akan datang termasuk di kerusi yang kini dimiliki parti-parti lain.
“Bersama akan menawarkan diri untuk bertanding dalam siri pilihan raya akan datang, tidak kira kerusi PKR, DAP, Amanah, UMNO, PAS atau Bersatu, sekiranya kami menilai ada keperluan dan peluang,” katanya. – MYNEWSHUB


