KUALA LUMPUR – “Patik percaya kelima-lima prinsip ini (Rukun Negara) tidak boleh difahami secara terpilih, tetapi perlu dihayati secara menyeluruh sebagai asas budaya politik negara”
Itu antara respons bekas Exco Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berhubung titah saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepadanya agar mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor seminggu sekali.
Ronnie Liu mendakwa, beliau yang telah lama terlibat dalam perjuangan politik dan demokrasi tanah air juga amat menghargai keluhuran Perlembagaan sebagai asas utama kestabilan dan keharmonian Malaysia.
Dakwanya, beliau malah memberi nama “Zun Xian” kepada anaknya yang membawa maksud menghormati Perlembagaan sebagai lambang penghormatan terhadap prinsip tersebut.
“Sebagai simbol bahawa kelangsungan generasi masa depan juga harus dibina atas penghormatan terhadap undang-undang, Perlembagaan dan asas negara,” dakwanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Sultan Selangor hari ini menyarankan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor di sini seminggu sekali.
Baginda bertitah demikian supaya Siew Ki dan Ronnie Liu menghayati makna Rukun Negara, menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Terdahulu, Ronnie Liu berkata, beliau dengan penuh rendah diri dan setinggi-tinggi penghargaan merakamkan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor kerana sudi mengingatkan semua ahli politik agar kembali memahami semangat sebenar Rukun Negara.
Katanya, beliau berpandangan titah baginda supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor sebanyak dua kali sebulan untuk mendekati rakyat dan menghayati semula Rukun Negara bukan sekadar satu aktiviti simbolik atau formaliti semata-mata.
“Sebaliknya, ia membawa makna yang jauh lebih mendalam, iaitu mengingatkan semua ahli politik supaya kembalij kepada asas pembinaan negara.
“Hari ini, masalah yang dihadapi Malaysia bukan sekadar persaingan politik, tetapi budaya politik yang semakin ekstrem, emosional dan saling menyerang sehingga semakin menjauh daripada semangat asal pembinaan negara,” Rakyat
Katanya, beliau percaya mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh Sultan Selangor bukan sekadar mengenai kehadiran ke dataran, tetapi mengenai keperluan untuk semua ahli politik memahami semula makna menghormati negara, Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, institusi Raja-Raja,
serta menghormati sesama rakyat Malaysia.
“Lima prinsip Rukun Negara sebenarnya merupakan satu semangat kebangsaan yang lengkap iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,.Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya. – MYNEWSHUB
Berikut kenyataan penuh beliau di media sosial hari ini:
[Daulat Tuanku.
Patik dengan penuh rendah diri dan setinggi-tinggi penghargaan merakamkan menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana sudi mengingatkan semua ahli politik agar kembali memahami semangat sebenar Rukun Negara, khususnya dalam suasana politik dan masyarakat yang semakin dipenuhi emosi serta perpecahan.
Pada pandangan patik, titah baginda supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor sebanyak dua kali sebulan untuk mendekati rakyat dan menghayati semula Rukun Negara bukan sekadar satu aktiviti simbolik atau formaliti semata-mata.
Sebaliknya, ia membawa makna yang jauh lebih mendalam, iaitu mengingatkan semua ahli politik supaya kembalij kepada asas pembinaan negara.
Hari ini, masalah yang dihadapi Malaysia bukan sekadar persaingan politik, tetapi budaya politik yang semakin ekstrem, emosional dan saling menyerang sehingga semakin menjauh daripada semangat asal pembinaan negara.
Oleh itu, patik percaya mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh DYMM Sultan Selangor bukan sekadar mengenai kehadiran ke dataran, tetapi mengenai keperluan untuk semua ahli politik memahami semula makna:
menghormati negara,
menghormati Perlembagaan,
menghormati kedaulatan undang-undang,
menghormati institusi Raja-Raja,
serta menghormati sesama rakyat Malaysia.
Lima prinsip Rukun Negara sebenarnya merupakan satu semangat kebangsaan yang lengkap:
1. Kepercayaan Kepada Tuhan
2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-Undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan
Patik percaya kelima-lima prinsip ini tidak boleh difahami secara terpilih, tetapi perlu dihayati secara menyeluruh sebagai asas budaya politik negara.
Sebagai seorang yang telah lama terlibat dalam perjuangan politik dan demokrasi negara, patik juga amat menghargai keluhuran Perlembagaan sebagai asas utama kestabilan dan keharmonian Malaysia. Malah, sebagai lambang penghormatan terhadap prinsip tersebut, anak patik sendiri diberikan nama “Zun Xian” (尊宪), yang membawa maksud menghormati Perlembagaan — sebagai simbol bahawa kelangsungan generasi masa depan juga harus dibina atas penghormatan terhadap undang-undang, Perlembagaan dan asas negara.
Politik era baharu tidak sepatutnya lagi dibina atas kebencian, emosi dan perpecahan, tetapi perlu dibina atas kematangan, rasional, rasa hormat dan masa depan negara.
Apa yang rakyat harapkan hari ini bukan sekadar ahli politik terus bertelagah, tetapi ahli politik yang sanggup kembali kepada prinsip negara dan bersama-sama membina Malaysia yang lebih matang, stabil, bersatu serta penuh harapan untuk generasi akan datang.
-Ronnie Liu Tian Khiew
Mantan Exco Negeri Selangor 2008-2013
@19052026 Selangor]
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ronnie Liu Tian Khiew


