KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuat naik rakaman video beliau membaca puisi nukilan Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang.
Melalui hantaran di media sosial, Anwar dilihat membaca puisi bertajuk Saudara Anwar Ibrahim yang ditulis pada Ogos 1999 sempena ulang tahun kelahiran beliau.
“Ini antara puisi terakhir beliau untuk saudara Anwar Ibrahim yang ketika itu merengkok di penjara, Ogos 1999,” katanya.
Berikut petikan puisi seperti yang dibacakan oleh Perdana Menteri:
Palu telah dijatuhkan lama sebelum tanganmu terikat ke belakang. Kau gegar aras kayangan, kekuasaan yang mula tergoncang.
Sekali tanganmu teracung ke udara, sejuta teriakan menyambutnya.
Sekali suaramu terpancar ke angkasa, sejuta gelombang gema menyambutnya.
Demi sumpah perjuangan, demi maruah keadilan, tabah dan gagah tidak pernah menyerah.
Untuk Wan Azizah, jentayu yang luka, tiba-tiba dia bangkit dengan kelembutan yang tetap sopan.
Berdiri di barisan paling hadapan sebagai pahlawan keadilan.
Lama dulu wajahnya tersembunyi, di belakang memimpin berani sang suami.
Mengintip dengan mata kecilnya segala tingkah dan senyuman pura-pura.
Si pengampu yang bermuka dua, si penyembah yang berjiwa hamba, si pengemis segenggam laba.
Dia adalah jentayu yang luka. Terbang mengepak, menyongsong kumpulan awan.
Mencakar, menjeritkan kebebasan dan keadilan. Mencabar dunia yang semakin kejam. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


