KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyindir sikap segelintir orang ramai yang gemar “mencop” tempat letak kereta di kawasan kediaman strata dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sehingga menyusahkan penduduk lain.
Menerusi satu hantaran di media sosial, DBKL menegur tindakan individu yang meletakkan kon, kerusi, pasu bunga, tong air serta papan tanda buatan sendiri bagi menghalang orang lain menggunakan petak parkir awam.
Menurut DBKL, isu kekurangan parkir sememangnya bukan perkara baharu terutama di kawasan berpenduduk padat, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadikan ruang awam sebagai “hak milik peribadi”.
“Dalam kehidupan bermasyarakat, tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan kepentingan sendiri. Kemudahan yang disediakan adalah untuk dikongsi dan digunakan secara tertib demi keselesaan bersama,” katanya.
DBKL turut mengingatkan bahawa kemudahan parkir bertingkat di sesetengah kawasan PPR diwujudkan bagi membantu mengurangkan kesesakan serta melancarkan pergerakan di kawasan kediaman.
Bagaimanapun, masih terdapat segelintir
penduduk yang memilih untuk meletakkan kenderaan di laluan jalan, bahu jalan atau secara berlapis semata-mata mahu parkir lebih dekat dengan rumah atau premis tertentu.
“Mudah untuk seorang, tetapi akhirnya menyulitkan ramai orang lain,” menurut hantaran itu.
Tambah DBKL, kehidupan di kawasan strata dan PPR memerlukan sikap matang dalam berkongsi ruang bersama serta menghormati
hak komuniti setempat.
“Kematangan warga kota tidak diukur pada jumlah kenderaan yang dimiliki, tetapi pada kesanggupan menghormati ruang dan hak orang lain.
“Petak parkir boleh dicari, tetapi rasa hormat kalau hilang, sukar diganti,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dewan Bandaraya Kuala Lumpur


