CEBU – Aktiviti penternakan babi tidak boleh dijalankan secara sewenang-wenangnya tanpa kawalan ketat terutama berhampiran kawasan penempatan penduduk.
Memetik laporan media, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, operasi penternakan perlu menggunakan teknologi yang canggih dengan jaminan tiada pencemaran berlaku.
Justeru, katanya, pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu itu berasas kerana pelbagai ‘keterlanjuran’ yang berlaku menjejaskan kesihatan awam.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mmaklumkan, beliau akan memohon perkenan menghadap Sultan Selangor berhubung isu tersebut.
“Pada prinsip saya tidak setuju umpamanya penternakan khinzir itu di mana-mana (sahaja)… mesti kawalannya ketat, mesti kawasan yang jauh daripada penduduk.
“Bukan sahaja penduduk Muslim, penduduk Cina pun tidak mahu duduk di kawasan tersebut, jadi biar jauh sedikit…,” katanya pada sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 hari ini.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan adalah sukar untuk menyekat sepenuhnya industri tersebut sekiranya pengusaha mampu memenuhi syarat ketat ditetapkan.
Namun, katanya, kebimbangan utama dibangkitkan adalah kewujudan ladang penternakan berhampiran kawasan kampung dan perumahan termasuk di Klang.
“Ini sebabnya sementara waktu noktahlah dulu,” katanya. – MYNEWSHUB


