KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP sebelum menjadi kerajaan pada tahun 2006 didakwa pernah berjanji kepada penduduk Kinrara untuk menghalang pembangunan tanah seluas 169 ekar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam.
Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP kemudian memenangi pilihan raya dan mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor pada tahun 2008.
“Empat tahun kemudian, kerajaan Selangor tidak menghentikan pembangunan dan mengembalikan tanah tersebut kepada status hutan simpan, sebaliknya menjual tanah itu kepada pemaju tanpa sebab yang jelas.
“Walaupun Menteri Besar ketika itu tidak terlibat dalam penjualan pada tahun 2012, urus niaga tanah tersebut disempurnakan semasa pentadbirannya, termasuk selepas keputusan mahkamah pada tahun 2017, dan geran tanah dipindahkan kepada pemaju pada tahun 2019 dan 2020,” dakwanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Wong Chen mendakwa, dari tahun 2012 hingga 2025, penduduk Kinrara tidak mengetahui tanah tersebut telah dijual dan hanya menyedari perkara itu apabila Penilaian Impak Sosial dijalankan pada 11 November 2025 bagi cadangan pembangunan kawasan berkenaan.
Menurut beliau, para aktivis telah datang ke pejabatnya pada awal Disember 2025 dan pihaknya kemudian mengeluarkan kenyataan media pertama bagi pihak aktivis pada 15 Disember 2025.
“Hari ini merupakan kenyataan media kelima kami mengenai perkara ini. Sejak itu, para aktivis telah berjaya memperoleh sebanyak 9,000 tandatangan bagi membantah pembangunan tanah tersebut,” dakwanya lagi.
Beliau berkata, walaupun kerajaan Selangor memberi jaminan tiada pembangunan akan dilakukan di atas tanah tersebut, masih belum ada sebarang penyelesaian konkrit seperti membeli semula tanah berkenaan daripada pemaju.
“Ia bukan lagi sekadar isu janji politik yang dimungkiri, tetapi turut melibatkan amalan pentadbiran yang tidak telus serta usaha mengelak daripada menjawab persoalan sebenar oleh kerajaan Selangor.
“Perkara yang paling membimbangkan ialah terdapat bukti jelas mengenai tadbir urus yang amat lemah apabila tanah tersebut ditransaksikan pada harga yang jauh di bawah nilai pasaran,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun media sosial Wong Chen


