KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mempersoalkan mengapa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang tampil menawarkan peletakan jawatan sebagai menteri, sedangkan beberapa pemimpin lain tidak mengambil langkah sama.
Wong Chen berkata, berdasarkan rakaman video dan kenyataan Anthony Loke yang ditelitinya, beliau memahami bahawa Menteri Pengangkutan itu menawarkan untuk meletakkan jawatan dan akan menyerahkan surat berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau memilih untuk menunggu sama ada Perdana Menteri menerima atau menolak tawaran tersebut sebelum memberikan pandangan lebih terperinci.
“Bagaimanapun, reaksi awal terhadap tawaran itu pelbagai. Ia sememangnya satu langkah yang tidak dijangka,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Wong Chen, antara persoalan yang dibangkitkan mengapa Anthony Loke mengambil langkah tersebut sedangkan Hannah Yeoh yang menurutnya menganggotai Lembaga Pengampunan tidak menawarkan peletakan jawatan menteri.
Beliau turut membangkitkan nama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang sebelum ini didakwanya pernah mengaitkan kedudukannya dengan kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dibebaskan.
Wong Chen kemudian menggunakan pengalaman peletakan jawatannya sendiri sebagai Ahli Parlimen Subang sebagai analogi, dengan menjelaskan tindakannya ketika itu berkaitan akses kepada peruntukan kawasan Subang yang disekat.
Katanya, beliau tidak meletakkan jawatan disebabkan isu membabitkan akses Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung terhadap peruntukan kawasannya.
Wong Chen berkata, prinsip tanggungjawab kolektif dalam kalangan pemimpin secara umumnya boleh diterima sebagai satu pendirian politik, namun mempersoalkan keadaan apabila pemimpin tertinggi berkorban sedangkan pemimpin lain kekal sebagai menteri. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wong Chen


