KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu dikekalkan menggunakan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
Menurut beliau, syarat itu perlu terpakai kepada semua pelajar termasuk lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tahfiz.
“Tak kira pelajar UEC ataupun tahfiz, nak masuk IPTA wajib SPM,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Beliau berkata, ramai pelajar lepasan UEC dan tahfiz sebelum ini juga mengambil peperiksaan SPM seperti biasa untuk melanjutkan pengajian ke IPTA.
Dalam pada itu, Akmal berpandangan kerajaan tidak perlu membuka lebih banyak “flood gate” dalam dasar pendidikan negara.
Katanya, dasar pendidikan sedia ada perlu dipatuhi dan tidak seharusnya diubah sesuka hati.
“Dasar pendidikan negara perlu kita ikuti, bukan ditebuk sana sini. Simple,” katanya.
Semalam KPT mengumumkan calon lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) UEC kini diberi laluan untuk memasuki IPTA.
Bagi calon-calon daripada aliran tersebut yang turut memiliki SPM penuh boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline.
Bagaimanapun, bagi calon-calon aliran tersebut yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan diperakui oleh KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program-program tertentu di IPTA. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


