KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyasarkan pihak bank berbanding golongan T20.
Dakwa beliau, bank-bank yang mencatat keuntungan besar perlu dijadikan sasaran jika kerajaan mahu mengenakan tindakan terhadap golongan berpendapatan tinggi.
“Jika Anwar benar-benar ikhlas mahu mengenakan tindakan terhadap golongan berpendapatan tinggi, maka beliau juga harus menyasarkan bank-bank yang mencatat keuntungan besar.
“Keuntungan sebelum cukai industri perbankan pada tahun 2025 meningkat sebanyak RM6.5 bilion atau 13.5 peratus daripada RM48.3 bilion pada tahun 2024 kepada RM54.8 bilion pada tahun 2025,” dakwanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa cadangan mengecualikan golongan T20 daripada skim Budi95 berisiko dilihat sebagai pendekatan yang cetek, malah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Guan Eng seterusnya mempersoalkan mengapa golongan T20 menjadi sasaran, sedangkan bank menikmati kadar pulangan yang jauh lebih tinggi berbanding kadar purata deposit tetap 12 bulan.
Beliau mendakwa, Bank Negara Malaysia juga telah membantu industri perbankan dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus yang menyebabkan harga saham perbankan meningkat.
Dakwa beliau, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pula kini berada dalam keadaan yang amat sukar.
“Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) menyatakan bahawa sektor pembuatan Malaysia bukan sahaja menghadapi krisis tetapi krisis yang semakin meruncing.
“Sebanyak 68 peratus syarikat menghadapi tekanan aliran tunai, dengan 13 peratus menyatakan ia cukup serius sehingga menjejaskan kemampuan mereka untuk membayar pembekal,” dakwanya lagi.
Justeru, katanya, kerajaan dan industri perbankan mesti melakukan lebih banyak usaha untuk membantu PMKS bagi mengelak tuduhan dwi standard melindungi keuntungan bank atas penderitaan rakyat.
Beliau mencadangkan, sebagai permulaan kerajaan dan industri perbankan menyerap kos moratorium pembayaran faedah selama setahun bagi pinjaman sedia ada PMKS.
Guan Eng turut mencadangkan pinjaman RM50,000 tanpa faedah dan tanpa cagaran RM5 bilion kepada 100,000 PMKS bagi membantu mereka mengatasi masalah kekurangan aliran tunai. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


