KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengesahkan satu insiden letupan dipercayai melibatkan dron tidak dikenali berlaku berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang waktu Malaysia dan menyebabkan kerosakan kecil di Malaysia House, iaitu kemudahan rehat bagi pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di bawah UNIFIL.
Menurut beliau, Malaysia House menempatkan lima Pegawai Staf Tentera (PST) ATM dan terletak kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan.
“Terdahulu, kira-kira pukul 5.19 petang waktu Malaysia, siren amaran telah dibunyikan dan arahan memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST yang bertugas di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan susulan ancaman di kawasan operasi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, letupan itu berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak sekitar 20 meter dari Malaysia House.
“Insiden itu mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar dan dalam bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL kerana kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian,” jelasnya.
Susulan kejadian itu, kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup sementara bagi membolehkan siasatan serta pemeriksaan keselamatan dijalankan pihak berkuasa UNIFIL bersama elemen berkaitan.Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan memaklumkan penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan terhadap struktur bangunan dan peralatan, manakala kerja pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13. – MYNEWSHUB


