OLEH MYNEWSHUB
PEKAN – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor bersama isterinya maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Paloh Hinai di sini awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Syah Lokman Ludza Ramli, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan serta isterinya, Nurulfiza Ardiana Amba, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan tersebut turut menyebabkan empat anak pasangan itu cedera dengan dua daripada mereka dilaporkan parah.
Menurut beliau, pasangan suami isteri yang berada di dalam sebuah lagi kenderaan turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan dua buah kereta dan berlaku kira-kira jam 3 pagi.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MYNEWSHUB


