KUALA SELANGOR – Kepimpinan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor berdepan tekanan selepas satu usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan sedia ada didakwa diluluskan sebulat suara dalam satu mesyuarat baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang tular di media sosial, usul berkenaan dibentangkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa Cabang yang dipilih dalam Pemilihan 2025.
Usul undi tidak percaya berkenaan dipercayai menyasarkan Ketua Cabang, Sivabalan, serta Timbalan Ketua Cabang, Cikgu Amidi.
Difahamkan, usul itu dikemukakan susulan dakwaan kegagalan kepimpinan dalam mengurus serta memimpin cabang dengan berkesan, sehingga menjejaskan kestabilan dan perpaduan parti di peringkat cabang.
“Usul ini dikemukakan kerana kegagalan kepimpinan mereka dalam mengurus dan memimpin cabang dengan baik yang telah menjejaskan kestabilan serta perpaduan parti di peringkat Cabang.
“Usul ini telah diluluskan dengan undian sebulat suara oleh para perwakilan yang hadir, mencerminkan pendirian jelas dan tegas terhadap keperluan perubahan dalam
kepimpinan Cabang,” menurut kenyataan itu.
Perkembangan itu dijangka memberi implikasi besar terhadap struktur kepimpinan PKR di Kuala Selangor, terutama menjelang fasa pengukuhan parti selepas pemilihan dalaman.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kepimpinan cabang berhubung dakwaan tersebut.
Mynewshub sedang berusaha mendapatkan maklum balas pihak berkaitan bagi memastikan gambaran sebenar situasi ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial ACSABU28


