KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan mengapa belum ada tindakan dikenakan terhadap aktivis Tamim Dahri yang beliau dakwa telah menghina agama Hindu.
Katanya, beliau memandang serius isu melibatkan Tamim Dahri yang telah mencetuskan keresahan dan menggugat keharmonian antara kaum serta agama di negara ini.
“Jika benar individu ini telah menimbulkan kekacauan dan ketegangan dalam masyarakat, mengapa tindakan diambil masih kelihatan tidak cukup tegas di mata umum?
“Saya bercakap atas dasar tanggungjawab moral dan sosial mempertahankan keharmonian negara daripada terus dipermainkan dan diperlekehkan individu seperti Tamim Dahri,” dakwanya dalam satu kenyataan di muat naik di media sosial.
Dalam pada itu, RSN Rayer turut mempersoalkan bila pihak berkuasa akan membawa pulang Tamim Dahri ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah dengan segera.
Katanya, beliau tidak mahu jawapan umum seperti ‘tindakan sedang diambil’ kerana ketegasan perlu dilihat, dirasai dan diyakini dalam isu melibatkan ketenteraman awam, sensitiviti kaum dan keharmonian agama.
“Sebagai wakil rakyat menjadi tanggungjawab saya mempersoalkan perkara ini. Saya akan terus bertanya dan persoal sehingga Tamim Dahri ditangkap dan dibawa balik dan dihadapkan ke Mahkamah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rsn Rayer


