KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu tidak dengan sendirinya melahirkan sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Menurutnya, Malaysia pernah menyaksikan pelantikan yang diraikan dengan penuh gemilang sebelum ini, namun disusuli dengan keraguan, kompromi serta keadilan yang ditangguhkan.
“Kita tidak boleh dan tidak mampu mengulangi kegagalan itu. Reformasi sebenar kadangkala tidak lantang. Ia tidak semestinya menarik perhatian. Ia berlaku melalui semakan terhadap Akta SPRM.
“Ia berlaku melalui pengukuhan perlindungan institusi. Ia berlaku melalui kebertanggungjawaban yang sebenar kepada Parlimen, bukan sekadar formaliti, tetapi sebagai asas yang kukuh.
“Tanpa perubahan struktur ini, segala kemajuan yang diraikan hari ini berisiko runtuh pada hari esok,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Justeru, Nurul Izzah menyeru setiap rakyat Malaysia yang pernah melahirkan kemarahan terhadap rasuah dalam sebuah sistem melindungi segelintir dan menzalimi yang lain supaya jangan berpaling.
“Jangan biarkan detik ini berlalu. Teruslah melibatkan diri. Perubahan tidak berlaku ke atas kita, ia berlaku kerana kita, Insya-Allah. Semoga Malaysia terus teguh mendepani cabaran zaman,” katanya.
Terdahulu, Nurul Izzah berkata, pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM aatu ujian dan pada masa yang satu peluang bagi institusi dan kepimpinan membuat perubahan.
Kata beliau, yang menggerakkan perubahan adalah keberanian serta iltizam rakyat.
“Bertahun-tahun lamanya, ramai yang telah menzahirkan desakan demi desakan. Kita mendesak tatkala ia tidak selesa. Kita mendesak ketika disaran menunggu, disaran bersabar, disaran mempercayai proses.
“Kita tetap terus mendesak kerana rakyat Malaysia berhak kepada sebuah badan pencegah rasuah yang tunduk kepada undang-undang, bukan kepada yang berkuasa, bukan kepada jaringan kepentingan, dan bukan kepada sesiapa yang namanya disiasat,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Nurul Izzah


