KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan sama ada satu program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini menghidangkan arak.
Beliau membangkitkan perkara itu dengan memuat naik tangkap layar rakaman video Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing bersama beberapa individu yang dipercayai sedang menikmati minuman beralkohol dalam satu program kementerian tersebut.
Perbuatan minum minuman keras tersebut dipercayai berlaku dalam Program Pra Gawai MOTAC @ Komuniti N69 Kemena di Bintulu, Sarawak malam kelmarin.
“Hak setiap kaum dan agama untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Tidak kisah pun mereka mahu meraikan atau minum apa.
“Namun, bolehkah majlis sebuah kementerian seperti MOTAC, yang menggunakan jata negara, menghidangkan arak? Barangkali jika tiada logo MOTAC, tidak akan timbul persoalan ini.
“TKS (Tiong King Sing) akan menggunakan alasan yang sama atau alasan lain kali ini?” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Firdaus Wong turut mengingatkan mengenai kontroversi membabitkan Program Global Travel Meet tahun lalu yang didakwa menghidangkan arak, namun dikatakan bukan majlis rasmi.
Menurut beliau, program itu didakwa tidak menerima pembiayaan rasmi walaupun memaparkan logo MOTAC, dan isu tersebut pernah ditegur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, King Sing memuat naik hantaran beliau gembira dapat bersama-sama dalam Program Pra Gawai MOTAC @ Komuniti N.69 Kemena sempena meraikan Hari Gawai yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurut beliau, kehadiran ramai mencerminkan semangat perpaduan serta kecintaan terhadap budaya dan warisan negeri Sarawak.
“Penganjuran Program Pra Gawai ini amat penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya yang menjadi identiti unik masyarakat Sarawak,” katanya – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun media sosial Firdaus Wong Wai Hung/Dato’ Seri Tiong King Sing


